Monday, January 31, 2011

WANITA MENDEPANI CABARAN SOSIAL PASCA MODEN

Wanita merupakan aset yang amat bernilai dan tenaga penggerak kemajuan. Wanita merupakan benteng pertahanan moral dalam masyarakat yang berubah dan sering dilanda kegawatan dan kemelut sosial. Wanita menjadi sumber inspirasi dan kasih sayang serta pembinaan masyarakat penyayang.
Peranan wanita sangat dikehendaki dan dipertahankan oleh masyarakat Timur demi kestabilan institusi keluarga daripada tergugat dan runtuh seperti yang berlaku di kalangan masyarakat Barat (Abd. Rahim 1998).

Rasulullah s.a.w. ketika mengerjakan haji wida’ telah meninggalkan pesanan-pesanan yang begitu menikam kalbu para sahabat ketika itu. Antara pesanan baginda ialah “Aku berpesan agar kamu melayan kaum wanita dengan baik” dan “Sekiranya kamu berpegang kepada al-Quran dan Sunnahku, kamu tidak akan sesat selama-lamanya”.

Islam muncul dalam kalangan manusia yang banyak melakukan amalan yang sesat baik dari segi akidah mahupun dari segi sosial dan tingkah laku. Sejarah menceritakan bagaimana keadaan kaum Arab yang terdiri daripada berbagai-bagai qabilah terlibat dengan penyembahan berhala, membunuh anak perempuan, bermusuhan sesama sendiri, menipu dan mengamalkan riba, rumah pelacuran dan berbagai-bagai kejahatan yang melingkari kehidupan pada waktu itu.

Sentuhan didikan Rasulullah s.a.w. yang mengajak manusia kembali kepada Tuhannya, beriman kepada Allah Taala dan rasulNya, menerima kewujudan malaikat dan hari akhirat serta akur dengan ketentuan qada’ dan qadar yang ditentukan Allah kepada hambaNya menjadi asas dan benteng kepada kehidupan manusia ketika itu.

Rasulullah s.a.w. telah berjaya mengubah satu kumpulan masyarakat yang kasar, berdendam, penipu, pelacur kepada sebuah masyarakat yang penyayang, lemah lembut, pemaaf, jujur dan berintegriti, menghormati wanita dan mengangkat darjat dan kedudukan kaum wanita.

Mungkin anda berkata bahawa zaman Rasulullah s.a.w. tidak sama dengan zaman kita. Zaman kita zaman pasca moden yang serba canggih dan terkehadapan. Zaman Rasulullah adalah zaman unta dan kuda, tiada parabola, tiada internet, tiada telefon bimbit, tiada ‘concord’, tiada kehidupan di angkasa dan lain-lain lagi…

Walau bagaimanapun method dakwah Rasullullah s.a.w pada zaman baginda adalah sesuai dan relevan sehingga berjaya melahirkan para pendokong dan pejuang yang hanya ingin hidup mulia atau mati mulia sahaja.

Kecanggihan hidup hari ini melahirkan masyarakat yang sangat kompleks seperti keluarga 69. Seharusnya juga dakwah pada zaman ini memenuhi keperluan semasa dengan persediaan yang cukup dari segi teknologi ICT, keilmuan yang tinggi (ulama menjadi intelektual dan golongan intelektual menjadi ulama), memahami dan menguasai isu dan masalah semasa, kepelbagaian metodologi dakwah sesuai dengan sasaran.

Dalam mendepani cabaran sosial kaum wanita terbahagi kepada tiga kumpulan yang besar. Kumpulan pertama yang terlibat dengan masalah sosial dan terpengaruh dengan dakyah dan propaganda Barat sehingga mereka menjadi penyumbang besar dalam masalah sosial dan kejatuhan moral wanita Islam di Malaysia.

Kumpulan kedua ialah golongan wanita yang tidak mempedulikan apa yang berlaku disekeliling mereka. Prinsip mereka, selagi mereka hidup senang, selesa dan damai dengan keluarga dan anak-anak, mereka tidak kisah dengan apa jua bahaya yang mendatang asalkan anak-anak mereka dan keluarga mereka selamat.

Kumpulan ketiga ialah kaum wanita yang prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh kaum mereka, walaupun masalah itu bukan masalah keluarga mereka, bukan masalah anak-anak mereka, bukan masalah saudara mara mereka… tetapi mereka terpanggil untuk menyumbang tenaga, memberi kesedaran dan kefahaman kepada kumpulan pertama dan kedua peri pentingnya kesedaran dan kefahaman Islam dihayati bersama dan dikongsi dengan orang lain. Agar keselamatan dan kesejahteraan itu boleh dikongsi dengan semua orang. Siapakah kita antara tiga golongan yang disebutkan di atas?

Sekiranya kita berada dalam kumpulan pertama, masa untuk kita bertaubat masih lagi terbuka. Masa untuk kita kembali kepada Tuhan masih lagi ada. Bertaubat dan kembalilah kepada kebenaran. Renungilah kelemahan dan kecacatan yang menyelubungi kehidupan kita. Carilah rawatan dan guru yang boleh membimbing kehidupan kita sehingga menjadi seorang yang beriman dan beramal saleh dan mengajak orang lain kepada kebaikan pula.

Sekiranya kita berada dalam golongan kedua, bergeraklah kehadapan sedikit, semoga kebaikan yang kita miliki boleh dikongsi dengan orang lain yang kurang bernasib baik. Ketahuilah, rumah tangga yang kita jaga, anak-anak yang kita lindungi belum pasti selamat selagi kita tidak keluar membantu mereka yang kurang bernasib baik. Anak-anak kita masih boleh dipengaruhi dengan berbagai-bagai aspek yang kita tidak mampu mengawalnya.

Ketahuilah, kesejahteraan sesebuah keluarga dan masyarakat serta negara kerana adanya golongan ketiga yang tidak mengenal penat dan jemu keluar berdakwah, mengajak kepada kebenaran, meninggalkan kesenangan hidup demi memastikan bumi ini disinari dengan cahaya iman dan mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah s.w.t.;

“Dan takutlah kamu kepada fitnah yang tidak hanya menimpa golongan yang zalim dari kalangan kamu sahaja, ketahulah sesungguhnya Allah itu Maha hebat hukumannya” (al-Anfal 25).

KEMBALI KEPADA TUHAN

Perkara pertama yang diseru oleh Rasulullah s.a.w. ketika mengajak kaum dan keluarga baginda kepada Islam ialah kembali beriman kepada Allah Taala. Inilah jalan penyelesaian yang sebenar. Sejarah dulu dan sekarang menunjukkan bagaimana hati-hati yang keras dan kejam boleh bertukar menjadi lembut dan penuh kasih sayang apabila air keimanan mengalir dalam tubuh mereka.

Menurut al-Banna (1998), agama itu membangun melalui jihad generasi silam yang berlandaskan asas-asas yang kukuh, iaitu keimanan kepada Allah s.w.t. mengenepikan kesenangan hidup yang sementara, mengutamakan kehidupan yang kekal abadi, berkorban dengan darah, nyawa dan harta demi menegakkan kebenaran, cintakan mati di jalan Allah. Semua ini dilalui dengan berlandaskan pimpinan al-Quran al-Karim.

Islam merangkumi aspek keagamaan dan kemasyarakatan, masjid dan negara, dunia dan akhirat. Malah Islam juga menyentuh sudut praktikal dalam kehidupan dunia dengan meletakkan amalan-amalan yang baik adalah ibadat kepada Allah Taala. Islam adalah sistem hidup yang lengkap, bersifat sepadu, saling berkait dan menguatkan antara satu aspek dengan aspek lain. Sistem ini berbeza daripada sistem yang lain dari segi wataknya, gagasannya tentang kehidupan dan cara pelaksanaannya.

Perbezaaan itu adalah perbezaan yang asasi dan menyeluruh. Oleh itu Islam tidak bertanggungjawab terhadap masalah yang timbul dalam masyarakat hari ini kerana masalah itu lahir akibat Islam dipisahkan daripada realiti kehidupan.

Sebenarnya untuk mengambil Islam sebagai penyelesaian masalah, terlebih dahulu Islam perlu dijadikan pengatur seluruh kehidupan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia ini. Setelah itu apabila timbul persoalan dan permasalahan barulah wajar untuk meminta pandangan Islam mengenai persoalan itu kerana masalah itu timbul dalam sistem Islam, bukan ditimbulkan oleh sistem bukan Islam.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;
“Wahai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”. (al-Baqarah: 208)

Islam mendidik manusia dengan sistem tertentu, memerintah dengan hukum tertentu, menyelesai masalah mereka atas dasar tertentu serta mewujudkan sistem kemasyarakatan, ekonomi dan politik yang tertentu. Jadi perkara utamanya ialah melaksanakan Islam sebagai sistem yang menyeluruh dalam semua aspek kehidupan.

Semua aktiviti bersosial, berpolitik, berekonomi, berbudaya, berperang dan lain-lain adalah berpaksikan kepada agama suci ini. Sebagai umat Islam, kita hendaklah yakin bahawa hukum dan ajaran Islam lengkap mencakupi seluruh urusan manusia dunia dan akhirat. Mereka yang merasakan ajaran Islam itu hanyalah menyentuh aspek ibadat atau kerohanian tanpa membabitkan aspek-aspek lain adalah silap.

Islam adalah akidah dan ibadat, tanah air dan bangsa, agama dan negara, rohani dan amali, mashaf dan pedang. Al-Quran al-Karim menyentuh semua aspek ini dan meletakkan seluruh aspek ini sebagai TERAS ISLAM. Islam mengingatkan manusia supaya memenuhi seluruh aspek ini.

Ini ditegaskan dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud; “Dan carilah apa yang dikurniakan Allah kepadamu pada hari Akhirat dan janganlah kamu lupa habuan kamu di dunia” (al-Qasas 77).
Asas kepada ajaran dan intipati Islam adalah al-Quran al-Karim dan Sunnah Rasulullah s.a.w. sekiranya umat Islam berpegang teguh dengan kedua-dua sumber ini, mereka tidak akan sesat selama-lamanya. Oleh itu, sistem Islam yang sepatutnya menjadi asas kepada umat ini mestilah dipetik daripada sumbernya yang asli.

Kita perlu memahami Islam sebagaimana yang difahami oleh para sahabat dan tabien yang saleh dan diredai Allah s.w.t. Kita tidak perlu mencorak zaman kita dengan budaya zaman yang tidak bertepatan dengan ajaran Islam. Bagi menjamin pelaksanaan perkara ini dengan betul, Islam menitik beratkan soal pemulihan jiwa manusia yang merupakan teras kepada sistem ini. Inilah teras yang akan menjana pemikiran, penilaian dan pembentukan sistem Islam.

Islam mengemukakan penawar yang dapat membersihkan jiwa manusia daripada nafsu serakah. Islam menghalang jiwa manusia bersifat kejam, alpa dan zalim. Jika jiwa manusia berjaya dilentur dan dibersihkan, pasti setiap yang lahir daripada jiwa ini elok dan baik belaka.

Atas dasar inilah, jiwa manusia mendapat perhatian utama dalam Kitab Allah. Manusia pertama yang dicorakkan oleh Islam kini menjadi model kepada manusia yang sempurna. Islam sebenarnya sesuai denngan semua zaman dan bangsa. Islam seiring dengan segala kehendak dan tuntutan. Islam tidak pernah melarang umatnya memanfaatkan apa jua yang sesuai selagi tidak bertentangan dengan dasar-dasar am Islam.

KESIMPULAN

Pasca moden adalah satu wajah baru yang di bawa oleh Barat untuk menghapuskan semangat bangsa dan rasa izzah sebagai seorang Islam. Penyerapan idea ini ke dalam jiwa dan pemikiran umat Islam berlaku dalam keadaan yang halus dan tersusun. Dalam konteks bangsa Melayu, wanita Melayu yang hidup dalam masyarakat majmuk di Malaysia, situasi ini perlu difahami dan ditangani dengan bijak dan tegas.

Era pasca moden akan menjadikan kita wanita Melayu, manusia tanpa bangsa dan tanpa agama. Manusia yang tanpa bangsa dan tanpa agama, menjadikan kita manusia yang tiada agenda, identiti dan jati diri. Manusia yang tiada identiti dan jati diri akan sentiasa tunduk dan dipergunakan oleh orang lain.

Sehubungan dengan itu, setiap aktivis masyarakat, juru dakwah dan ahli politik perlu peka terhadap permasalahan ini dan tidak terjerat dalam perangkap agenda yang diatur oleh Barat.
Justeru, saya menyeru diri saya dan seluruh wanita Melayu agar bangkit dan kembali kepada ajaran
Islam yang sebenar sebagaimana yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w. Menjadikan Islam sebagai satu cara hidup.

Meletakkan agama sebagai pertimbangan dan neraca kehidupan. Inilah sahaja yang dapat menyelamatkan kita dari terpengaruh dengan budaya dan fahaman yang dibawa dalam era pasca moden. Inilah juga yang boleh menyelamatkan bangsa kita daripada terus bergelumang dengan maksiat dan kemurkaan Allah s.w.t.

Wednesday, January 26, 2011

Hadiah untuk orang yang beriman

Hadiah untuk orang yang beriman
Firman Allah swt dalam surah al-Ra'd ayat 28; "Orang-orang yang beriman dan hati mereka tenteram dengan dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.

Dalam ayat ini, Allah swt menegaskan hati itu menjadi tenang dan tenteram apabila bersandar kepada Allah swt, mengingati Allah swt dan redha menjadikan Allah swt sebagai pelindung dan penolong.

Iman merupakan faktor utama yang memberikan kebahagiaan dan ketenangan kepada jiwa manusia (al-Mukminun 23: 1). Tanpa keimanan seseorang itu tidak mungkin mencapai dan bertemu dengan kebahagiaan yang sebenar dan hakiki (Yunus 10: 17).

Ketenteraman, kedamaian, kepuasan dan ketenangan jiwa hanya dirasai oleh orang-orang yang beriman, yang menyerahkan seluruh kehidupan, jiwa dan raganya kepada Allah swt. Mereka inilah yang layak mendapat sakinah dalam kehidupan mereka sebagaimana yang dijanjikan Allah swt kepada RasulNya dan orang-orang yang beriman (al-Fath 48: 26).

Jaminan kebahagiaan dan ketenteraman hidup terhadap orang-orang yang beriman berterusan selagi mana mereka tidak menodai iman mereka dengan kezaliman, khianat dan maksiat (al-An’am 6: 82).
Kenikmatan ruhi dikecapi oleh orang yang beriman melalui sifat tenang dan kegembiraan hatinya daripada segala sifat keluh kesah dan penderitaan. Ini bukan bermakna, orang beriman tidak diuji oleh Allah swt dengan kesusahan, kepayahan, masalah rumah tangga, kehilangan harta benda dan nyawa, kemewahan dan keselesaan hidup dan sebagainya.

Namun orang-orang yang beriman melihat masalah dan problematika kehidupan itu bersifat sementara dan menyedari bahawa ia adalah ujian Allah swt ke atas mereka agar mereka lebih beriman dan berserah diri kepadaNya.

Sebab itulah Rasulullah saw begitu mengkagumi sifat-sifat orang-orang yang beriman apabila mereka ditimpa kesusahan mereka bersabar, tetapi apabila mereka diberi nikmat mereka bersyukur. Sifat sabar dan syukur ini hanya ada pada orang yang beriman.

Ketenangan jiwa adalah formula hidup bahagia. Iman adalah mutiara kebahagiaan yang dirasakan sebagai nikmat yang paling agung dalam kehidupan seorang muslim. Kebahagiaan seorang muslim ialah apabila dia berjaya menjadikan iman dan takwanya berada dalam kedua-dua alam iaitu alam dunia dan alam akhirat (Yunus 10: 62-64).

Jiwa yang beriman akan membina keluarga yang beriman seterusnya masyarakat yang beriman. Kesejahteraan negara hanya mungkin dapat dilaksanakan sekiranya kita berjaya membina masyarakat yang sejahtera dengan prinsip-prinsip keimanan yang jelas dan padu (al-A’raf 7: 96).

Friday, January 21, 2011

DALAM KEPAHITAN ADA KEMANISAN

Dunia rumah tangga penuh dengan warna warni kehidupan. Manis, pahit, masam, kelat merupakan perasa alam rumah tangga. Tanpa perasa ini, dunia rumah tangga akan menjadi hambar dan membosankan.

Kadang-kadang suami isteri boleh bergaduh dan bermasam muka hanya kerana sehelai tisu atau gara-gara tangisan anak yang sangat nyaring. Siapa sebenarnya yang membuang tisu merata-rata? Kenapa tak pandai pujuk anak menangis? Kenapa lambat buka pintu? Kenapa aku sahaja yang buat kerja rumah, sedangkan dia relaks membaca surat khabar? Kenapa dan kenapa...

Persoalan dan keluhan ini biasa bermain-main dalam pemikiran sang isteri atau sang suami. Pernah sepasang suami isteri yang telah lama menjalani alam rumah tangga apabila ditanya oleh seorang wartawan tentang kebarangkalian terlintas dalam hati mereka perasaan ingin bercerai, pasangan suami isteri ini dengan segera menafikan pernah wujud perasaan dan keinginan itu sepanjang perkahwinan mereka.

Namun apa yang berlaku selepas sesi temu bual tersebut ialah si isteri telah menarik tangan si wartawan dan memberitahu bahawa beliau bukan nak bercerai tetapi ingin membunuh suaminya.
Begitu juga kajian yang dibuat oleh pengkaji-pengkaji Barat terhadap pasangan yang tidak bahagia dalam perkahwinan mereka. Adakah mereka akan mencapai bahagia selepas bercerai? Jawapan kajian itu adalah tidak.

Beberapa kenyataan ini memberikan kita gambaran yang sebenar tentang perkahwinan. Apabila kita melihat krisis sebagai satu isu dan masalah yang besar, ia akan menjadi masalah dan kita sukar untuk keluar daripada masalah ini. Cuba kita anggap krisis yang dihadapi adalah asam garam kehidupan yang bersifat sementara, memerlukan kesabaran dan toleransi untuk menghadapinya. Hari ini je esok baiklah...

Pepatah Arab ada menyentuh isu ini dengan sungguh halus dan indah...
وترى الشوكة في الورود وتعمى أن ترى فوقها الندى إكليلا......
“Engkau melihat duri-duri yang menghiasi batang-batang mawar. Namun engkau seolah buta untuk melihat di hujung dedaun itu ada embun yang menyejukkan”. Janganlah kita sentiasa melihat keburukan tanpa menyedari kebaikan yang banyak yang ada pada pasangan kita.

Sehubungan dengan itu, Allah swt juga telah mengingatkan kepada orang-orang yang beriman agar berhati-hati dan bersederhana dalam membenci seseorang terutama pasangan kita sendiri. Dalam keburukan dan kelemahan pasangan kita ada terselit kebaikan yang banyak.

19. Wahai orang-orang Yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan Dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa Yang kamu telah berikan kepadaNya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji Yang nyata. dan bergaulah kamu Dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) Dengan cara Yang baik. kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa Yang kamu benci itu kebaikan Yang banyak (untuk kamu).

Sebagai manusia, kadang-kadang kita terlupa untuk menghargai nikmat yang telah Allah swt anugerahkan kepada pasangan yang berumah tangga. Nikmat sakinah, mawadah dan rahmat adalah anugerah yang sangat mahal lagi indah. Janganlah hendaknya kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Sama-samalah kita memeliharanya.