Wanita ISMA menyambut baik langkah yang diambil oleh HAMAS apabila melantik seorang wanita menduduki jawatan sebagai menteri di Kementerian Wanita Palestin. Perlantikan ini adalah menepati keperluan semasa dan masyarakat Palestin pada hari. Sekalung tahniah diucapkan kepada Madam Jamila al-Shanti di atas perlantikan tersebut.
Perlantikan wanita sebagai ketua kepada kaum wanita bukanlah sesuatu yang pelik dan baru, bahkan perkara ini telah dipraktikkan sejak zaman Rasulullah saw lagi apabila baginda saw melantik Asma’ bt Umais sebagai ketua dan wakil kaum wanita Ansar pada zaman itu.
Bahkan kaum wanita pada zaman Rasulullah saw merupakan wanita yang berani tampil kehadapan bertanyakan hak mereka, tidak malu dalam menuntut ilmu, rajin menguruskan perusahaan dan perniagaan, pandai membuat kraftangan, mahir dalam ilmu persolekan dan kecantikan.
Setiap isteri Rasulullah mempunyai tukang soleknya yang tersendiri, sehinggakan seorang yang baru memeluk Islam bertanya kepada Rasulullah saw tentang pekerjaannya sebagai tukang solek, adakah boleh diteruskan lagi selepas dia memeluk Islam. Rasulullah saw menyuruh perempuan tersebut meneruskan usaha dan tugasnya sebagai tukang solek walaupun wanita-wanita yang disolek itu sudah tua.
Begitu juga penglibatan wanita dalam urusan pentadbiran dan pengurusan masyarakat Islam. Rasulullah saw tidak segan silu untuk meminta pandangan daripada isteri baginda apabila berhadapan dengan situasi yang menyusahkan baginda membuat keputusan. Ummu Salamah antara isteri Rasulullah saw yang banyak member nasihat dan pandangan kepada baginda dalam urusan umat Islam.
Suatu hari Rasulullah saw dan para sahabat selesai mengerjakan sa’ie iaitu perjalanan antara bukit Safa dan Marwah. Apabila selesai mengerjakan sa’ie, Rasulullah saw meminta kepada para sahabat untuk bercukur, namun demikian tiada seorang sahabat pun yang menyahut seruan Rasulullah saw. Rasulullah saw terus masuk ke dalam khemah dan menceritakan apa yang berlaku kepada isteri baginda Ummu Salamah.
Ummu Salamah mencadangkan kepada Rasulullah saw untuk keluar dan menunjukkan kepada para sahabat apa yang baginda perintahkan tadi. Apabila para sahabat melihat perbuatan Rasulullah saw, barulah masing-masing bangun, dan saling bercukur antara satu sama lain.
Sebenarnya, perlantikan wanita sebagai ketua kepada kaum wanita adalah satu perkara yang sangat dituntut dan wajar. Siapakah yang lebih memahami keperluan dan kebajikan wanita kalau tidak kaum wanita itu sendiri.
Masyarakat Palestin juga tidak terkecuali daripada menerima pembaharuan ini yang sepatutnya telah lama harus berlaku. Wanita Palestin adalah wanita yang kental, berani dan kuat jiwa dan raganya. Mereka dikenali sebagai wanita yang setia dengan cinta dan kasih sayang seorang suami. Mereka begitu setia menunggu dan bersabar menanti kepulangan suami daripada penjara yang entah bila akan keluar daripada penjara Israel.
Dengan perlantikan tersebut, diharapkan nasib wanita Palestin lebih terbela, suara mereka lebih didengar, perjuangan mereka lebih dirasai oleh seluruh umat Islam di dunia ini. TAHNIAH KEPADA SELURUH WANITA PALESTIN ATAS PERLANTIKAN INI.
No comments:
Post a Comment