Wednesday, April 20, 2011

PENGHARAMAN PURDAH MELANGGAR HAK ASASI MANUSIA

Apa lagi yang boleh dipertahankan oleh seorang manusia apabila hak-hak peribadinya dinafikan oleh sebuah undang-undang yang mendakwa pejuang hak asasi manusia.
Itulah antara nasib yang dialami oleh wanita muslimah di Perancis apabila badan kehakiman negara tersebut dengan sombong dan bongkaknya melarang pemakaian purdah di khalayak ramai dengan alasan melindungi sekularisme dan kesamarataan antara wanita dan lelaki.
Penganiayaan demi penganiayaan yang berlaku kepada wanita muslimah di negara bukan Islam bukanlah suatu perkara yang baru dan kebetulan. Ia adalah satu isyarat kepada semua umat Islam agar peka dan menyedari situasi dan kelemahan ini adalah berpunca daripada diri ummat itu sendiri.
Tidak ada gunanya kita mengambil pendekatan marah, maki dan berbagai-bagai reaksi kepada fenomena yang berlaku kepada masyarakat Islam ini selagi kita sendiri tidak kembali kepada ajaran yang sebenar, menghayati perjuangan Rasulullah saw dan mewarisi tugas dan tanggungjawab sebagai seorang da’ie.
Musuh Islam hanya akan mencebik dan ketawa geli hati melihat reaksi masyarakat Islam yang keluar melakukan demontrasi, rapat umum, tunjuk perasaan menyatakan kekesalan yang berlaku dan sengaja dilakukan oleh mereka. Mereka sedar semua tindak balas masyarakat Islam itu hanya sementara, esok lusa sejuklah mereka.
Apa yang menyebabkan mereka begitu yakin dengan pandangan mereka dan tiada perasaan gerun dan takut dengan dengan tindak balas umat Islam terhadap penghinaan dan kejahatan yang mereka lakukan?
Hal ini tidak lain tidak bukan kerana tali masih di tangan mereka. Kecintaan umat Islam masih dalam kawalan dan genggaman mereka. Umat Islam hanya mampu memberi reaksi marah dan geram, sedih dan menangis. Selain dari itu, mereka sedar jiwa, akal, hati dan fizikal umat Islam dalam kawalan dan sistem mereka.
Justeru, selagi umat Islam tidak boleh berpisah dengan agenda Barat, pemikiran Barat, cara hidup Barat dan ideologi Barat selama itulah perasaan marah dan geram yang kita tunjukkan kepada dunia umpama menyiram ke daun keladi. Kesatuan umat Islam hanya terletak di kertas dan bibir mulut sahaja sedangkan dari sudut tindakan dan amalannya, umat Islam masih tidak bersatu melawan kuasa dan agenda Barat.
Suatu ketika dahulu Barat melihat kekuatan umat Islam dan berusaha mencari kelemahan dan menjatuhkannya. Kekuatan umat Islam terletak kepada pegangan umat Islam kepada al-Quran al-Karim dan akidah umat yang tidak goyah, luntur atau lemah. Senjata inilah yang digunakan oleh Barat untuk menjauhkan umat Islam dari al-Quran al-Karim dan melemahkan akidah umat Islam dengan begitu terancang dan strategik.
Agenda penjajahan demi penjajahan ke atas bumi umat Islam bukanlah berlaku secara kebetulan kerana minyak atau harta semata-mata. Di sebalik ketamakan mereka kepada kekayaan bumi, dendam kesumat mereka atas kekalahan sewaktu perang salib dahulu masih tidak hilang.
Kemasukan secara besar-besaran budaya dan cara hidup Barat ke dalam kehidupan masyarakat Islam telah berjaya mengelabui mata umat Islam terutama kaum wanita untuk keluar dari rutin harian dan tradisi mereka yang asal. Sehingga ada kalangan wanita Islam yang berani melaungkan hak asasi wanita Islam sebagaimana yang dilakukan oleh wanita Barat.
Padahal Allah swt telah pun memuliakan kaum wanita serta mengangkat darjat dan kedudukan mereka sehingga sama dengan kaum lelaki. Kemuliaan dan darjat yang tinggi di sisi Allah swt ini dicapai oleh wanita Islam ketika kaum wanita di Barat masih hidup dalam kegelapan, terseksa, tertindas dan penuh penghinaan.
Justeru itu, bagi mengembalikan semula ketakutan dan kegerunan musuh kepada umat Islam, perkara yang sama perlu kita lakukan. Menolak cara hidup Barat, budaya Barat dan agenda Barat daripada menjadi budaya umat Islam, cara hidup umat Islam dan agenda umat Islam.
Penolakan kepada tiga perkara besar inilah sahaja yang boleh menyelamatkan maruah umat Islam daripada terus diketawakan musuh.

No comments:

Post a Comment