Thursday, December 9, 2010

MELAYU PERLU BERGANTUNG PADA DIRI SENDIRI UNTUK BERJAYA

Bangsa yang berjaya adalah bangsa yang tidak bergantung kepada orang lain untuk berjaya. Hal ini ditegaskan oleh Allah swt dalam surah al-Mulk yang bermaksud; Dialah Allah yang mencipta kematian dan kehidupan bagi menguji siapakah dalam kalangan kamu yang paling baik amalannya. Perkataan kerja atau amalan itu merujuk kepada pekerjaan yang dilakukannya sendiri tanpa bergantung kepada orang lain yang melakukannya (Za’ba 2005). Begitu juga ayat yang bermaksud; Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh. Perkataan iman atau percaya itu merujuk kepada diri orang itu sendiri yang beriman dan percaya. Tidak berguna jika orang lain yang beriman dan percaya bagi pihak dirinya. Begitu jugalah dengan perbuatan dan pekerjaan kebaikan yang dia sendiri lakukan.

Kehidupan ini adalah untuk beramal dan bekerja, berjuang dan berlumba. Setiap kita hendaklah melaksanakan bahagiannya sendiri dengan tidak bergantung kepada orang lain yang akan melakukannya, tidak berharap kepada pertolongan orang lain yang akan menyempurnakan tugasnya. Kita sendiri kena bertanggungjawab bagi menyempurnakan kewajipan diri dan tanggungjawab dalam perjuangan ini. Orang yang akan menang dalam perlumbaan ini biasanya orang mempunyai sifat TETAP, TEKUN dan SABAR sewaktu melakukan kerja-kerjanya dengan bergantung kepada ikhtiar dan daya usahanya sendiri, selain daripada berharap dan memohon pertolongan dan rahmat Allah swt sahaja.

Bangsa yang berjaya adalah bangsa yang tidak bergantung kepada orang lain dalam melakukan kerja-kerjanya. Mereka bersedia menanggung risiko buruk dan baik di atas apa yang dilakukannya. Walaupun ada beberapa pekerjaan dan perkara yang memerlukan kepada pertolongan manusia, namun begitu, itu tidak bermakna mereka perlu berharap dan menagih pertolongan daripada orang lain. Juga tidak bermakna menyebabkan dia menjadi pemalas atau (take for granted) apabila ada orang yang membantunya.

Perangai bergantung kepada diri sendiri adalah antara akhlak asasi yang perlu ada pada setiap diri kita sebagai seorang muslim. Ia menjadi akar tunjang kepada sebuah kejayaan kerana inilah asas kepada tegaknya sebuah kemajuan dan tamadun satu-satu bangsa.

Perangai bergantung kepada diri sendiri akan mendorong seseorang itu bekerja keras, berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai matlamat kehidupannya. Bangsa yang mempunyai perangai ini tidak akan mudah berserah kepada nasib sahaja tanpa perlu berusaha.

Sikap suka bergantung kepada orang lain menjadikan kita bangsa yang jauh ketinggalan di belakang, menjatuhkan kualiti dan nilai kemanusiaan. Pepatah Melayu ada menyebut; berharap pada anak buta sebalah mata, berharap pada orang buta dua belah mata (Za’ba 2005).

Oleh sebab itu, lebih baik setiap pekerjaan itu dibuat sendiri. Alangkah cantiknya ungkapan seorang penyair Arab; Tidak ada siapa yang boleh menggaru gatal kulitmu sama seperti kuku tanganmu sendiri, sebab itu garulah sendiri gatalmu.

Walau bagaimanapun, sifat meminta nasihat dan panduan daripada mereka yang lebih celik akal dan bijak adalah digalakkan cuma jangan sampai ia menjadi tabiat sehingga membawa kepada sikap malas berfikir dan suka menggunakan otak orang lain dalam menyampaikan tujuan kita. Sekiranya ini berlaku hilanglah sifat KUAT dalam diri bangsa kita.

No comments:

Post a Comment