Monday, December 13, 2010

SALAH FAHAM TERHADAP ISU WANITA

Sebelum kita membicarakan tentang hakikat kedudukan wanita dalam Islam, kita sorot sekejap tentang sejarah gerakan pembebasan wanita yang diperjuangkan oleh kaum wanita di Eropah dan negara Barat. Kenapa kaum wanita di Eropah dan Barat begitu ghairah memperjuangkan hak-hak mereka? Apakah kesan Revolusi Industri yang melanda Eropah kepada kedudukan dan hak asasi kaum wanita di Eropah dan Barat?

Revolusi Eropah telah memaksa kaum wanita dan kanak-kanak keluar bekerja. Kesannya mereka terpaksa mengorbankan keluarga, kehormatan, maruah dan harga diri demi mencapai kepuasan, cita-cita dan matlamat material yang tidak pernah surut. Namun apa yang diperoleh oleh kaum wanita Eropah hanyalah penindasan, kehinaan dan layanan yang tidak adil. Mereka mendapat upah yang lebih rendah daripada kaum lelaki dan tenaga mereka diperah siang dan malam. Mereka terpaksa mengenepikan sifat-sifat kewanitaan, maruah dan harga diri serta nilai-nilai moral demi mendapatkan pekerjaan.

Kesan daripada kekejaman dan penindasan yang tidak berpenghujung itu, muncul suara-suara yang mendesak kesamaan gender, kesamarataan hak dan taraf, hak bersuara dan lain-lain. Mereka melancarkan mogok, demontrasi, pidato dan surat khabar untuk memperjuangkan hak-hak mereka. Mereka juga menuntut hak menggubal dan menyusun undang-undang negara dengan mendesak agar mereka diberi hak mengundi dan menjadi wakil rakyat. Kaum wanita Eropah dan Barat terpaksa melalui perjuangan yang panjang dan penuh air mata demi mencapai hak yang sama rata dengan kaum lelaki.

Situasi ini amat berbeza dengan persepsi Islam terhadap kaum wanita. Semenjak awal lagi Islam telah melihat wanita sebagai makhluk Allah yang mempunyai roh kemanusiaan sama seperti kaum lelaki. Seluruh arahan Allah swt berbentuk larangan dan perintah adalah untuk kaum lelaki dan wanita sehinggalah balasan baik dan buruk di akhirat juga adalah sama sahaja antara lelaki dan wanita.

Kaum lelaki dan wanita diberi hak yang sama untuk memenuhi keperluan kebendaan dan mereka bebas mengurus hak milik dan harta mereka tanpa perlu campur tangan daripada kaum lelaki. Mereka juga diberi hak yang sama dengan kaum lelaki untuk menggadai, menyewa, mewakaf, menjual, membeli dan mendapat faedah daripada harta milik mereka.

Di sinilah letaknya perbezaan wanita Eropah dengan wanita Islam. Bagi mendapatkan hak-hak tersebut, wanita Eropah terpaksa berjuang sehingga mengorbankan akhlak dan kehormatan mereka. Mereka terpaksa bermandi peluh, dan air mata serta darah demi mendapatkan hak mereka sebagai wanita. Berbanding dengan wanita Islam yang diberi secara sukarela oleh agama sebagai satu daripada tanggungjawab agama iaitu menjaga dan berbuat baik kepada kaum wanita.

Keperihatinan Islam kepada kaum wanita boleh dilihat dalam isu perkahwinan dan pemilihan jodoh. Kaum wanita diberi peluang untuk memilih jodoh mereka sendiri malah mereka berhak untuk melamar kaum lelaki yang mereka sukai. Bahkan sekiranya mereka tidak suka pada jodoh yang dipilih oleh wali, mereka berhak untuk menolak perkahwinan tersebut.

- bersambung -

No comments:

Post a Comment