Monday, February 14, 2011

SENI DALAM RUMAHTANGGA

Menjadi lumrah, dunia rumahtangga dipenuhi dengan berbagai-bagai warna warni dan asam garam kehidupan. Semua warna warni ada asam garam tersebut adalah kecantikan dan kesenian sebuah rumahtangga.

Rumahtangga dakwah juga tidak lari daripada berhadapan dengan fitnah dan ujian, sama ada anak-anak yang melalaikan tanggungjawab kita sebagai seorang daie, pasangan hidup yang tidak memahami tugas dan peranan kita dalam dakwah serta kewangan yang selalu menghambat dengan hutang keliling pinggang.

Keterikatan para daei dengan anak-anak sehingga menyibukkan mereka dengan urusan mereka sehingga sengaja menangguhkan kerja dakwah dan tanggungjawab kepada organisasi dakwah adalah satu perkara yang perlu dipandang serius oleh ahli harakah Islamiah.

Ini menepati peringatan Allah swt dalam surah al-Taghabun ayat 14;
14. Wahai orang-orang Yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu Yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Oleh sebab itulah, bagi mengelakkan perkara seumpama ini berlaku berterusan, Islam amat menitikberatkan pemilihan pasangan yang baik, sekufu dari segi penghayatan agama, seiring dalam tugas-tugas dan tanggungjawab dakwah. Ciri-ciri ini perlu bagi memelihara kerukunan rumahtangga dan kelangsungan dakwah dalam rumahtangga.

Isteri yang baik dan memahami tanggungjawab pasangannya akan membantu suaminya untuk terus maju dan terkehadapan dalam medan dakwah. Ia sekali-kali tidak akan membebankan suaminya dengan masalah rumahtangga yang boleh diselesaikan sendiri. Anak-anak dan suami akan menjadi keutamaannya dalam tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu.

Rumahtangga dakwah bukan sahaja terletak kepada isteri yang setia kepada suaminya, menjaga kehormatan suami dan rumahtangga, menjaga keperluan anak-anak dan mengasihi mereka, bahkan lebih daripada itu lagi. Rumahtangga dakwah adalah satu simbol keluarga yang sangat unik, di mana kedua-dua pasangan menghayati fikrah Islam dan mendokong cita-cita Islam.

Selain daripada pemilihan calon pasangan yang baik yang boleh menyokong kerja-kerja dakwah dan amal medan yang kita laksanakan, cara mengurus keluarga juga adalah sebahagian daripada usaha mengelakkan menjadikan anak-anak dan pasangan sebagai fitnah kepada kerja-kerja dakwah.

Sebagai ketua keluarga, seorang ayah atau suami hendaklah memainkan peranannya sebagai ketua rumahtangga yang effektif dan dirasai oleh sang isteri dan anak-anak. Bagaimana cara kita manage rumahtangga agar keluarga yang dibina menjadi penyokong kuat dan setia kepada perjuangan kita?
Antara perkara besar yang menjadi tumpuan sesebuah keluarga ialah isu pendidikan anak-anak, kewangan rumahtangga dan pengurusan rumahtangga yang melibatkan kebersihan dan kekemasan, pemakanan dan kesihatan ahli keluarga.

Di sinilah letaknya seni pengurusan keluarga yang baik. Bagaimana kita mahu memastikan pendidikan anak-anak berada pada tahap yang baik, bagaimana memastikan aliran tunai dalam kewangan keluarga stabil, pengurusan rumahtangga tidak lintang pukang dan dalam waktu yang sama penglibatan dalam dakwah dan amal medan bergerak seiring dengan kestabilan rumahtangga kita?

Semua yang pernah terlibat dalam dakwah mempunyai pengalaman dan cerita yang boleh dikongsi dengan golongan muda yang baru melayari rumahtangga. Rajin-rajinlah bertanya dan berkongsi pengalaman mereka. Saya percaya anda tidak akan kecewa …..

Friday, February 11, 2011

KONSEP RUMAHTANGGA DAKWAH

Rumahtangga dakwah terbina apabila perkahwinan yang termeteri itu berlangsung antara dua mempelai yang mengikat janji setia kerana Allah swt demi meneruskan kelangsungan dakwah dalam kehidupan selepas berkahwin.

Ia bukanlah satu rumahtangga yang luar biasa dan tidak nomal seperti yang digambarkan oleh sesetengah orang. Anggota keluarganya terdiri daripada suami dan isteri serta anak-anak yang mendokong cita-cita Islam, berusaha sedaya upaya melaksanakan kehidupan Islam dalam rumahtangganya, berusaha menyebarkan kefahaman Islam yang syumul kepada masyarakat serta sentiasa mengutamakan Allah dan Rasul dalam kehidupan harian mereka.

Rumahtangga dakwah juga tidak terkecuali daripada memenuhi beberapa ciri-ciri yang perlu ada pada pasangan yang berkahwin serta ahli keluarga mereka. Mereka bukanlah pasangan yang hidup terlalu serius, bekerja dan bekerja di jalan Allah sehingga melupakan perasaan dan emosi pasangan masing-masing.

Tiga perkara yang dijanjikan Allah swt kepada mereka yang melaksanakan hukum syariat dan mendirikan masjid ialah mawaddah, rahmat dan sakinah dalam rumahtangga. Perasaan kasih sayang, belas ehsan dan ketenangan harus dipupuk dalam rumahtangga melalui hubungan kita yang berterusan dengan Allah swt.

Rasulullah saw pernah berpesan kepada umatnya yang ingin mendapatkan kasih sayang manusia agar sentiasa membina hubungan yang baik dan kukuh dengan pencipta manusia yang memiliki hati-hati mereka. Dialah yang berhak mencampakkan rasa kasih dan sayang ke dalam hati si suami untuk mengasihi isterinya dan mencampakkan rasa cinta ke dalam hati isteri untuk menyintai suaminya.

Sifat bertolak ansur dan memaafkan kesalahan dan kelemahan pasangan adalah antara rahsia kelangsungan sesebuah rumahtangga. Sebenarnya dalam keburukan pasangan kita masih banyak lagi kebaikan yang perlu dilihat dan dihargai. Kerukunan rumahtangga terletak kepada sejauhmana kita bersedia memaafkan kesalahan dan kelemahan pasangan. Rahmat Allah swt akan turun kepada rumahtangga yang saling memaafkan dan bertolak ansur dalam semua keadaan.

Rumahtangga dakwah memerlukan pasangan yang saling memahami tugas dan tanggungjawab pasangan masing-masing. Bersedia menunggu kepulangan suami pada larut malam atau dini hari semata-mata melaksanakan tanggungjawab kepada Allah swt. Setiap langkah sang suami ke arah kebaikan, pahalanya akan dikongsi bersama si isteri yang setia menanti di rumah bersama anak-anak.

Memahami tugas dan tanggungjawab suami merupakan satu penghargaan buat sang suami dan satu lonjakan untuk mereka di medan dakwah. Begitu jugalah bagi pihak suami. Mengahwini seorang yang bernama ukhti daieah bererti memberikan kepada mereka hak untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab di jalan Allah swt yang pahalanya adalah sangat besar dan mahal di sisi Allah swt.

Inilah namanya saling sokong menyokong antara satu sama lain demi memastikan dakwah di jalan Allah swt terus berlangsung dan berkembang di bumi ini. Sebagaimana dalam syarat ukhuwah fillah, berlapang dada merupakan elemen yang paling rendah dan minima dalam penilaian ukhuwah fillah, begitu juga dalam rumahtangga. Sikap berlapang dada harus diamalkan dalam dunia rumahtangga agar kehidupan menjadi harmoni dan sejahtera.

Dalam waktu yang sama, kita haruslah mencipta suasana rumahtangga agar sentiasa kelihatan ceria dengan gurau senda dan nasihat menasihati. Inilah beberapa rempah ratus yang perlu dihiasi dalam sebuah rumahtangga dakwah.

Thursday, February 10, 2011

DARI DEMONSTRASI KEPADA REVOLUSI

Hanya berbekalkan semangat seorang pemuda naïf yang melihat kepincangan yang berlaku dalam sistem pentadbiran negara termasuklah rangkaian pasukan keselamatan Mesir yang terdiri daripada barisan polis dan askar.

Seorang pemuda berani bernama Khalid bin Said telah menangkap gambar polis Mesir mengedarkan dadah dan menyiarkannya dalam facebook miliknya. Sejurus lepas itu beliau telah dibelasah sehingga meninggal dunia oleh orang-orang yang dikatakan polis Mesir.

Kematian Khalid bin Said ini telah membakar semangat golongan muda Mesir untuk bangkit mempertahankan maruah dan membela kematian Khalid yang telah dizalimi. Munculnya seorang anak muda yang bernama Wail Ghanim bekerja sebagai eksekutif Google telah berjaya membakar semangat rakyat Mesir untuk turun ke jalanan menyatakan hasrat dan cita-cita mereka.

Menggunakan rangkaian sosial yang terpantas di dunia, Wael Ghanim telah memanipulasi penggunaan facebook untuk menyeru rakyat Mesir keluar ke jalanan menyatakan bantahan mereka terhadap sistem pemerintahan yang sudah korup, rasuah, zalim dan kuku besi.

Bermula dengan perbualan-perbualan dalam facebook inilah, semangat yang membara dan terpendam begitu lama dalam kalangan rakyat Mesir akhirnya diterjemahkan dalam bentuk demonstrasi dan laungan kejatuhan Presiden Mesir Hosni Mubarak agar berundur dari tampuk pemerintahan.

Bantahan ini pada awalnya disertai oleh golongan muda yang tidak tahu apa yang mahu tetapi tahu apa yang mereka tidak mahu. Mereka adalah golongan muda yang mahu bebas daripada dilabelkan dengan sebarang ikatan parti politik mahupun pertubuhan bukan kerajaan termasuklah Ikhwan Muslimin.

Mahu mahu dilihat sebagai golongan yang bebas daripada sebarang pengaruh politik mahupun agama. Mereka mahu kerajaan memahami hasrat mereka menghentikan sebarang kezaliman yang mencengkam kehidupan mereka zaman berzaman. Mereka mahu kerajaan sekarang diganti dengan kerajaaan yang lebih telus, demokratik dan bersih daripada rasuah dan kejahatan ahli politik.

Tiada siapa yang mengjangka, bilangan rakyat yang keluar ke Medan Tahrir dan jalan raya di semua tempat dan daerah di Mesir semakin bertambah dari sehari ke sehari. Ia seolah-olah ledakan gunung berapi yang telah lama terpendam dan akhirnya meletup mengeluarkan laharnya.

Peristiwa berdarah yang berlaku pada 28 Jan 2011 yang meragut banyak nyawa dan mencederakan ratusan rakyat melakukan demonstrasi dan tunjuk perasaan secara langsung telah berjaya menarik simpati masyarakat dunia dan rakyat Mesir sendiri yang sebelum ini menjadi pemerhati.

Keadaan yang tidak terkawal dan bantahan yang semakin membara daripada rakyat Mesir memaksa tentera masuk campur dan mengambil alih tanggungjawab keselamatan negara. Terlepasnya ribuan banduan daripada penjara Mesir memburukkan lagi keadaan apabila banduan-banduan ini melakukan berbagai-bagai jenayah termasuklah mengganggu demonstrasi aman yang dilakukan oleh rakyat Mesir.

Demonstrasi jalanan secara aman telah bertukar wajah menjadi revolusi rakyat Mesir menggulingkan kerajaan Hosni Mubarak. Mereka menolak sebarang perubahan struktur yang dikemukakan oleh Mubarak. Apa yang mereka tuntut ialah pengunduran Hosni Mubarak dan seluruh jenteranya daripada pemerintahan negara.

Revolusi Mesir yang julung-julung kali disertai oleh jutaan rakyat Mesir telah menarik perhatian seluruh dunia. Mereka sanggup berkampung di Medan Tahrir selama berminggu-minggu sehingga Mubarak turun atau mereka yang mati. Semangat golongan muda ini telah menyerap ke dalam jiwa dan hati seluruh rakyat Mesir yang terdiri daripada berbagai-bagai lapisan.

Golongan wanita, kanak-kanak, golongan tua tidak ketinggalan untuk bersama-sama berkumpul di daerah masing-masing menyatakan bantahan secara aman terhadap Rejim Mubarak. Apa yang berlaku ialah golongan ini akan pergi kerja seperti biasa dan apabila pulang dari tempat kerja, mereka akan menyertai rakan-rakan mereka di Medan Tahrir, Iskandariah, Mansourah dan lain-lain tempat.

Realitinya, rakyat Mesir telah terlalu lama berada di bawah cengkaman kuku besi rejim Hosni Mubarak. Tiada siapa yang berani melawan dan menentang secara terang-terangan terhadap rejim ini. Undang-undang darurat yang dilaksanakan di negara ini telah memperuntukkan tangkapan tanpa bicara terhadap penentang rejim dan orang-orang yang disyaki menganggu kepentingan dan keselamatan rejim.

Hari ini, revolusi rakyat Mesir telah berjaya menonjolkan semangat baru golongan muda yang berani dan tidak takut mati yang mengambil berat tentang tanah air mereka. Mereka telah berjaya memecahkan tembok ketakutan dan pengecut yang selama ini membelenggu kehidupan rakyat Mesir.

Revolusi ini seolah-olah dilihat memberi harapan kepada rakyat Mesir untuk menerajui perubahan baru yang lebih dinamik, telus dan demokratik. Mereka juga Berjaya menunjukkan kepada dunia luar uslub baru revolusi tanpa pertumpahan darah. Semua berlaku dengan aman dan penuh terancang sekiranya tidak diganggu oleh puak-puak yang pro Mubarak yang melakukan kekacauan di sana sini.

Persoalannya sekarang, siapakah yang layak memimpin gerakan revolusi ini. Adakah golongan muda yang mencetuskan fenomena ini mampu memimpin kerajaan dan membentuk perubahan baru kepada rakyat Mesir sedangkan mereka sendiri sebenar belum pasti apa yang bakal mereka lakukan apabila memerintah nanti.

Adakah parti-parti pembangkang yang lain yang sedang menunggu peluang kejatuhan Mubarak untuk mereka mengambil alih tampuk pemerintahan? Terjaminkah mereka akan melakukan perubahan atau mereka juga adalah streotaip kepada pemerintahan Hosni Mubarak yang benci kepada golongan Islamis dan pro kepada Israel dan Amerika Syarikat.

Layakkah Ikhwan Muslimin memimpin gerakan pembaharuan dan revolusi ini? Mampukah mereka melaksanakan dasar Negara yang pro Israel dan Amerika Syarikat dan menanggung hutang Negara berbillion dollar? Bersediakah rakyat Mesir menerima perubahan dengan pengorbanan mereka sekali apabila Ikhwan Muslimin memerintah negara. Adakah Israel dan Amerika Syarikat akan membiarkan sahaja musuh tradisi mereka mengambil tampuk pemerintahan ayam tambatan mereka.

Tuesday, February 8, 2011

PERKAHWINAN DALAM ISLAM

Islam melihat perkahwinan itu merupakan satu ikatan suci yang menyatukan antara dua hati. Tujuan perkahwinan adalah untuk memenuhi keperluan syariat yang yang telah ditetapkan kepada semua pasangan lelaki dan wanita yang sepakat untuk hidup bersama.

Islam meletakkan beberapa peraturan kepada pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan mereka agar perkahwinan tersebut diberkati dan berlangsung dalam keadaan yang harmoni, aman dan damai. Antaranya ialah persetujuan daripada pihak pengantin lelaki dan wanita yang ingin berkahwin, kehadiran wali, cukup saksi dan berlaku ijab dan qabul dalam pernikahan tersebut.

Setiap pernikahan itu mesti mempunyai mahar atau maskahwin dalam bentuk benda yang bernilai sama ada dalam kadar yang kecil atau manfaat yang besar. Pemberian ini adalah wajib bagi si suami kepada isterinya sebagai satu penghargaan di atas kesediaan si isteri untuk hidup bersama dan menanggung segala susah dan senang dalam perkahwinan.

Kewajipan ini adalah selaras dengan kehendak Allah swt dalam surah al-Nisa’ ayat 4; dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian Yang wajib. kemudian jika mereka Dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat Yang lazat, lagi baik kesudahannya.

Rasulullah saw juga telah menegaskan kewajipan suami membayar maskahwin atau mahar kepada isterinya dalam sabda baginda yang bermaksud; “Carilah maskahwin walaupun berupa bentuk cincin besi”-(riwayat Al-Bukhari,Muslim dan Abu Daud). Jumlah maskahwin atau mahar ini hendaklah disebut di dalam akad nikah tersebut.

Walau bagaimana pun, Islam tidak pernah membebankan si suami dengan meletakkan nilai dan harga tertentu pada sebuah perkahwinan. Ia bergantung pada kemampuan dan persetujuan antara pihak lelaki dan wanita. Apa yang paling penting ialah kesediaan pasangan suami isteri mengharungi bahtera perkahwinan dengan penuh kasih sayang, saling hormat-menghormati, bekerjasama, sabar dan tawakal kepada Allah swt.

Firman Allah swt dalam surah Rom ayat 21; dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir.

Budaya meletakkan harga yang tinggi kepada mahar atau maskahwin bukan budaya orang Melayu. Pada suatu ketika dahulu, masyarakat Melayu sangatlah halus budi pekerti dan tata cara mereka dalam menetapkan isu-isu perkahwinan. Mereka begitu berhalus dalam hal menetapkan mahar kerana bimbang dituduh menjual anak atau sebagainya.

Kehalusan budi pekerti ini bersesuaian dengan makna hadis Rasulullah saw yang membicarakan keberkatan seorang wanita itu adalah terletak pada maharnya yang rendah, cepat tempoh perkahwinannya dan cepat pula dapat anak.

Begitu jugalah dengan kenduri perkahwinan. Rasulullah saw menggalakkan umatnya mengadakan kenduri atau majlis perkahwinan apabila sesuatu pernikahan itu selesai bagi tujuan menghebahkan dan mengisytiharkan perkahwinan itu kepada orang ramai. Majlis tersebut hendaklah bersifat sederhana dan bukan bertujuan menunjuk-nunjuk kemewahan kepada orang ramai.

Hal ini diceritakan sendiri oleh para sahabat yang menghadiri perkahwinan Rasulullah saw dengan Zainab binti Jahsyi, di mana baginda saw menjemput masyarakat Madinah dan menjamu mereka dengan makanan dan minuman sempena perkahwinan baginda. Begitu juga apabila baginda saw mendengar sahabat baginda yang bernama Abdul Rahman bin Auf melansungkan perkahwinan, terus baginda meminta Abdul Rahman mengadakan walimah atau kenduri kahwin walaupun dengan hanya seekor kambing.

Justeru itu, perkahwinan masyarakat Melayu hari ini yang sanggup berbelanja berlebih-lebihan dan sanggup berhutang piutang demi merealisasikan sebuah perkahwinan mewah adalah tidak digalakkan dalam Islam. Perkahwinan yang bermewah-mewah dan menunjuk-nunjuk bukanlah satu ibadah dan bukan juga adat orang Melayu.

Perkahwinan itu dikira ibadah apabila ia menunaikan tuntutan yang wajib dan melakukan kenduri dan majlis perkahwinan kerana memenuhi tuntutan syariah dengan mengambil kira kemampuan dan niat yang ikhlas kepada Allah swt tanpa ada unsur-unsur menunjuk-nunjuk dan bermewah-mewah yang berlebihan.

Wednesday, February 2, 2011

SEKUNTUM MAWAR MERAH SEBUAH PUISI

Sekuntum mawar merah dan sebuah puisi akan diabadikan oleh sang kekasih kepada kekasihnya pada hari yang ditunggu-tunggu. 14 Februari pada setiap tahun, menderu-deru anak-anak bangsa kita berbondong-bondong membeli kuntuman mawar merah dan mencalit sepatah kata indah dijambangan bunga untuk sang kekasih.

Sebagai tanda kasih dan ingatan si kekasih, si gadis dengan rela hati menyerahkan dirinya dan maruahnya demi cinta dan kasih sayang yang tak kunjung padam. Hasilnya tujuh bulan atau sembilan bulan kemudian, masyarakat akan digegarkan dengan penemuan bayi di dalam longkang, tong sampah, mangkuk tandas, parit dan di berbagai-bagai tempat hatta di tangga masjid dan pintu hospital.

Itulah hadiah hari kekasih yang didedikasikan kepada seluruh masyarakat Malaysia khususnya bangsa Melayu. Sampai bila kita harus melihat dan mendengar cerita ini semua? Sampai bila kita ingin menyatakan simpati pada bayi-bayi yang tidak berdosa itu? Cukupkah kita sekadar menggelengkan kepala dan menyimpan perasaan geram dan marah di dalam hati sahaja?

Pokoknya... kita belum melakukan apa-apa untuk menghalang dan membenteras gejala ini daripada berlanjutan. Allah swt telah mengutuskan Nabi Muhammad saw untuk mengajak manusia beriman dan mentauhidkan Allah swt, menuruh manusia melakukan kebaikan dan melarang manusia daripada melakukan kejahatan.

Tugas dan tanggungjawab dakwah yang dilaksanakan oleh Rasulullah saw suatu ketika dahulu telah diwariskan kepada umatnya. Kita adalah pewaris nabi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai pendakwah. Ia menjadi kewajipan kepada kita semua untuk membenteras kejahatan dan kemungkaran yang berlaku di sekeliling rumah dan kawasan kita.

Penglibatan kita dalam organisasi masyarakat sedikit sebanyak memberikan kita peluang untuk mengutip pahala sebagai seorang pendakwah. Kerana kerja dakwah tidak boleh dilaksnakan secara individu. Kerja dakwah perlu dilaksanakan secara kelompok dan berkumpulan bagi mendapatkan hasil yang lumayan dan berkesan.

Kepada remaja-remaja yang baru memasang niat untuk merayakan Hari Kekasih pada 14 februari ini, kita nasihat dan bimbing mereka ke arah kebaikan. Kita jelaskan tentang hakikat Valentine Day yang sebenar. Mungkin mereka tidak tahu dan hanya suka-suka. Inilah tanggungjawab kita menceritakan kepada mereka tentang Valentine Day.

Kepada remaja yang dah terlanjur dan sentiasa merayakan Hari Kekasih, golongan ini perlu didekati dengan kasih sayang. Kerjasama dengan pihak jabatan agama dan JAKIM perlu dilaksanakan bagi menyekat aktiviti penyerahan mawar merah dan sebuah puisi berlarutan lagi.

Golongan ini mempunyai beberapa tempat strategik yang menjadi tempat mereka berkumpul sempena Hari Kekasih ini dan kegiatan mereka biasanya dilindungi oleh Taiko Besar yang menjaga kepentingan mereka dalam perniagaan.

SAMA-SAMA KITA BERGERAK
MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT