Tuesday, February 8, 2011

PERKAHWINAN DALAM ISLAM

Islam melihat perkahwinan itu merupakan satu ikatan suci yang menyatukan antara dua hati. Tujuan perkahwinan adalah untuk memenuhi keperluan syariat yang yang telah ditetapkan kepada semua pasangan lelaki dan wanita yang sepakat untuk hidup bersama.

Islam meletakkan beberapa peraturan kepada pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan mereka agar perkahwinan tersebut diberkati dan berlangsung dalam keadaan yang harmoni, aman dan damai. Antaranya ialah persetujuan daripada pihak pengantin lelaki dan wanita yang ingin berkahwin, kehadiran wali, cukup saksi dan berlaku ijab dan qabul dalam pernikahan tersebut.

Setiap pernikahan itu mesti mempunyai mahar atau maskahwin dalam bentuk benda yang bernilai sama ada dalam kadar yang kecil atau manfaat yang besar. Pemberian ini adalah wajib bagi si suami kepada isterinya sebagai satu penghargaan di atas kesediaan si isteri untuk hidup bersama dan menanggung segala susah dan senang dalam perkahwinan.

Kewajipan ini adalah selaras dengan kehendak Allah swt dalam surah al-Nisa’ ayat 4; dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian Yang wajib. kemudian jika mereka Dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat Yang lazat, lagi baik kesudahannya.

Rasulullah saw juga telah menegaskan kewajipan suami membayar maskahwin atau mahar kepada isterinya dalam sabda baginda yang bermaksud; “Carilah maskahwin walaupun berupa bentuk cincin besi”-(riwayat Al-Bukhari,Muslim dan Abu Daud). Jumlah maskahwin atau mahar ini hendaklah disebut di dalam akad nikah tersebut.

Walau bagaimana pun, Islam tidak pernah membebankan si suami dengan meletakkan nilai dan harga tertentu pada sebuah perkahwinan. Ia bergantung pada kemampuan dan persetujuan antara pihak lelaki dan wanita. Apa yang paling penting ialah kesediaan pasangan suami isteri mengharungi bahtera perkahwinan dengan penuh kasih sayang, saling hormat-menghormati, bekerjasama, sabar dan tawakal kepada Allah swt.

Firman Allah swt dalam surah Rom ayat 21; dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir.

Budaya meletakkan harga yang tinggi kepada mahar atau maskahwin bukan budaya orang Melayu. Pada suatu ketika dahulu, masyarakat Melayu sangatlah halus budi pekerti dan tata cara mereka dalam menetapkan isu-isu perkahwinan. Mereka begitu berhalus dalam hal menetapkan mahar kerana bimbang dituduh menjual anak atau sebagainya.

Kehalusan budi pekerti ini bersesuaian dengan makna hadis Rasulullah saw yang membicarakan keberkatan seorang wanita itu adalah terletak pada maharnya yang rendah, cepat tempoh perkahwinannya dan cepat pula dapat anak.

Begitu jugalah dengan kenduri perkahwinan. Rasulullah saw menggalakkan umatnya mengadakan kenduri atau majlis perkahwinan apabila sesuatu pernikahan itu selesai bagi tujuan menghebahkan dan mengisytiharkan perkahwinan itu kepada orang ramai. Majlis tersebut hendaklah bersifat sederhana dan bukan bertujuan menunjuk-nunjuk kemewahan kepada orang ramai.

Hal ini diceritakan sendiri oleh para sahabat yang menghadiri perkahwinan Rasulullah saw dengan Zainab binti Jahsyi, di mana baginda saw menjemput masyarakat Madinah dan menjamu mereka dengan makanan dan minuman sempena perkahwinan baginda. Begitu juga apabila baginda saw mendengar sahabat baginda yang bernama Abdul Rahman bin Auf melansungkan perkahwinan, terus baginda meminta Abdul Rahman mengadakan walimah atau kenduri kahwin walaupun dengan hanya seekor kambing.

Justeru itu, perkahwinan masyarakat Melayu hari ini yang sanggup berbelanja berlebih-lebihan dan sanggup berhutang piutang demi merealisasikan sebuah perkahwinan mewah adalah tidak digalakkan dalam Islam. Perkahwinan yang bermewah-mewah dan menunjuk-nunjuk bukanlah satu ibadah dan bukan juga adat orang Melayu.

Perkahwinan itu dikira ibadah apabila ia menunaikan tuntutan yang wajib dan melakukan kenduri dan majlis perkahwinan kerana memenuhi tuntutan syariah dengan mengambil kira kemampuan dan niat yang ikhlas kepada Allah swt tanpa ada unsur-unsur menunjuk-nunjuk dan bermewah-mewah yang berlebihan.

No comments:

Post a Comment