Rumahtangga dakwah terbina apabila perkahwinan yang termeteri itu berlangsung antara dua mempelai yang mengikat janji setia kerana Allah swt demi meneruskan kelangsungan dakwah dalam kehidupan selepas berkahwin.
Ia bukanlah satu rumahtangga yang luar biasa dan tidak nomal seperti yang digambarkan oleh sesetengah orang. Anggota keluarganya terdiri daripada suami dan isteri serta anak-anak yang mendokong cita-cita Islam, berusaha sedaya upaya melaksanakan kehidupan Islam dalam rumahtangganya, berusaha menyebarkan kefahaman Islam yang syumul kepada masyarakat serta sentiasa mengutamakan Allah dan Rasul dalam kehidupan harian mereka.
Rumahtangga dakwah juga tidak terkecuali daripada memenuhi beberapa ciri-ciri yang perlu ada pada pasangan yang berkahwin serta ahli keluarga mereka. Mereka bukanlah pasangan yang hidup terlalu serius, bekerja dan bekerja di jalan Allah sehingga melupakan perasaan dan emosi pasangan masing-masing.
Tiga perkara yang dijanjikan Allah swt kepada mereka yang melaksanakan hukum syariat dan mendirikan masjid ialah mawaddah, rahmat dan sakinah dalam rumahtangga. Perasaan kasih sayang, belas ehsan dan ketenangan harus dipupuk dalam rumahtangga melalui hubungan kita yang berterusan dengan Allah swt.
Rasulullah saw pernah berpesan kepada umatnya yang ingin mendapatkan kasih sayang manusia agar sentiasa membina hubungan yang baik dan kukuh dengan pencipta manusia yang memiliki hati-hati mereka. Dialah yang berhak mencampakkan rasa kasih dan sayang ke dalam hati si suami untuk mengasihi isterinya dan mencampakkan rasa cinta ke dalam hati isteri untuk menyintai suaminya.
Sifat bertolak ansur dan memaafkan kesalahan dan kelemahan pasangan adalah antara rahsia kelangsungan sesebuah rumahtangga. Sebenarnya dalam keburukan pasangan kita masih banyak lagi kebaikan yang perlu dilihat dan dihargai. Kerukunan rumahtangga terletak kepada sejauhmana kita bersedia memaafkan kesalahan dan kelemahan pasangan. Rahmat Allah swt akan turun kepada rumahtangga yang saling memaafkan dan bertolak ansur dalam semua keadaan.
Rumahtangga dakwah memerlukan pasangan yang saling memahami tugas dan tanggungjawab pasangan masing-masing. Bersedia menunggu kepulangan suami pada larut malam atau dini hari semata-mata melaksanakan tanggungjawab kepada Allah swt. Setiap langkah sang suami ke arah kebaikan, pahalanya akan dikongsi bersama si isteri yang setia menanti di rumah bersama anak-anak.
Memahami tugas dan tanggungjawab suami merupakan satu penghargaan buat sang suami dan satu lonjakan untuk mereka di medan dakwah. Begitu jugalah bagi pihak suami. Mengahwini seorang yang bernama ukhti daieah bererti memberikan kepada mereka hak untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab di jalan Allah swt yang pahalanya adalah sangat besar dan mahal di sisi Allah swt.
Inilah namanya saling sokong menyokong antara satu sama lain demi memastikan dakwah di jalan Allah swt terus berlangsung dan berkembang di bumi ini. Sebagaimana dalam syarat ukhuwah fillah, berlapang dada merupakan elemen yang paling rendah dan minima dalam penilaian ukhuwah fillah, begitu juga dalam rumahtangga. Sikap berlapang dada harus diamalkan dalam dunia rumahtangga agar kehidupan menjadi harmoni dan sejahtera.
Dalam waktu yang sama, kita haruslah mencipta suasana rumahtangga agar sentiasa kelihatan ceria dengan gurau senda dan nasihat menasihati. Inilah beberapa rempah ratus yang perlu dihiasi dalam sebuah rumahtangga dakwah.
No comments:
Post a Comment