Monday, February 14, 2011

SENI DALAM RUMAHTANGGA

Menjadi lumrah, dunia rumahtangga dipenuhi dengan berbagai-bagai warna warni dan asam garam kehidupan. Semua warna warni ada asam garam tersebut adalah kecantikan dan kesenian sebuah rumahtangga.

Rumahtangga dakwah juga tidak lari daripada berhadapan dengan fitnah dan ujian, sama ada anak-anak yang melalaikan tanggungjawab kita sebagai seorang daie, pasangan hidup yang tidak memahami tugas dan peranan kita dalam dakwah serta kewangan yang selalu menghambat dengan hutang keliling pinggang.

Keterikatan para daei dengan anak-anak sehingga menyibukkan mereka dengan urusan mereka sehingga sengaja menangguhkan kerja dakwah dan tanggungjawab kepada organisasi dakwah adalah satu perkara yang perlu dipandang serius oleh ahli harakah Islamiah.

Ini menepati peringatan Allah swt dalam surah al-Taghabun ayat 14;
14. Wahai orang-orang Yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu Yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Oleh sebab itulah, bagi mengelakkan perkara seumpama ini berlaku berterusan, Islam amat menitikberatkan pemilihan pasangan yang baik, sekufu dari segi penghayatan agama, seiring dalam tugas-tugas dan tanggungjawab dakwah. Ciri-ciri ini perlu bagi memelihara kerukunan rumahtangga dan kelangsungan dakwah dalam rumahtangga.

Isteri yang baik dan memahami tanggungjawab pasangannya akan membantu suaminya untuk terus maju dan terkehadapan dalam medan dakwah. Ia sekali-kali tidak akan membebankan suaminya dengan masalah rumahtangga yang boleh diselesaikan sendiri. Anak-anak dan suami akan menjadi keutamaannya dalam tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu.

Rumahtangga dakwah bukan sahaja terletak kepada isteri yang setia kepada suaminya, menjaga kehormatan suami dan rumahtangga, menjaga keperluan anak-anak dan mengasihi mereka, bahkan lebih daripada itu lagi. Rumahtangga dakwah adalah satu simbol keluarga yang sangat unik, di mana kedua-dua pasangan menghayati fikrah Islam dan mendokong cita-cita Islam.

Selain daripada pemilihan calon pasangan yang baik yang boleh menyokong kerja-kerja dakwah dan amal medan yang kita laksanakan, cara mengurus keluarga juga adalah sebahagian daripada usaha mengelakkan menjadikan anak-anak dan pasangan sebagai fitnah kepada kerja-kerja dakwah.

Sebagai ketua keluarga, seorang ayah atau suami hendaklah memainkan peranannya sebagai ketua rumahtangga yang effektif dan dirasai oleh sang isteri dan anak-anak. Bagaimana cara kita manage rumahtangga agar keluarga yang dibina menjadi penyokong kuat dan setia kepada perjuangan kita?
Antara perkara besar yang menjadi tumpuan sesebuah keluarga ialah isu pendidikan anak-anak, kewangan rumahtangga dan pengurusan rumahtangga yang melibatkan kebersihan dan kekemasan, pemakanan dan kesihatan ahli keluarga.

Di sinilah letaknya seni pengurusan keluarga yang baik. Bagaimana kita mahu memastikan pendidikan anak-anak berada pada tahap yang baik, bagaimana memastikan aliran tunai dalam kewangan keluarga stabil, pengurusan rumahtangga tidak lintang pukang dan dalam waktu yang sama penglibatan dalam dakwah dan amal medan bergerak seiring dengan kestabilan rumahtangga kita?

Semua yang pernah terlibat dalam dakwah mempunyai pengalaman dan cerita yang boleh dikongsi dengan golongan muda yang baru melayari rumahtangga. Rajin-rajinlah bertanya dan berkongsi pengalaman mereka. Saya percaya anda tidak akan kecewa …..

No comments:

Post a Comment